Selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa sejak 2008, ini hanya dapat menjadikan nenek mereka tempat menumpang kasih.

KOTA BHARU: Selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa sejak 2008, dua beradik dari Kampung Bunga Emas, Penambang, di sini, ini hanya dapat menjadikan nenek mereka tempat menumpang kasih.

Muhammad Aftarihan Arnia Mohd Asni, 17, dan adiknya Linafsha Arnia, 16, yang masing-masing bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang ketika ini bergantung hidup kepada nenek mereka, Kamariah Mat Ali, 73.

Menurut, Linafsha Arnia, arwah ibunya, Latifah Ismail, meninggal dunia pada 2008 selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Pasir Puteh, manakala arwah bapanya pula,

Mohd Asni Hussin meninggal dunia pada 2012 selepas mengalami tekanan perasaan akibat kehilangan ibu yang menjadi teman hidupnya selama ini.

“Ketika arwah ibu meninggal dunia, saya baharu berusia tiga tahun serta masih belum mengerti apa-apa dan hanya mampu menangis dan merayu supaya ibu bangun kerana menganggap ibu sedang ‘tidur’.

“Selepas menginjak usia dewasa, saya mula memahami dan kini hanya gambar ibu yang menjadi tatapan setiap kali mahu meluahkan rasa rindu yang semakin lama semakin menebal,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Kampung Bunga Emas, Penambang, di sini, hari ini.

Terdahulu dua beradik berkenaan dikunjungi Penghulu Mukim Penambang, Zainuddin Zakaria.

Linafsha Arnia berkata, walaupun kasih sayang ibu dan ayah tiada gantinya, namun perhatian yang diberikan oleh neneknya membuatkan dia dan abangnya melupakan kesedihan bergelar bergelar yatim piatu.

“Kini nenek yang menjadi ibu dan ayah kepada saya dan abang apabila menyediakan keperluan harian kami dua beradik termasuk memberi makan dan minum,

malah nenek turut berjanji mahu membesarkan kami dengan kudratnya selain tidak akan memisahkan kami adik-beradik walaupun dihimpit kesusahan.

“Saya dan abang bersyukur kerana dikurniakan seorang nenek yang sangat penyayang serta menjaga kebajikan kami selama ini membuatkan kami bersemangat untuk meneruskan kehidupan walaupun menumpang kasih sayang.

“Beban nenek menjaga kami dua beradik sedikit ringan apabila saya dan abang masing-masing memperoleh bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 yang boleh digunakan untuk membeli keperluan kami,” katanya.

Sementara itu, Kamariah berkata, meskipun kehidupan dia dan dua cucunya tidak semewah orang lain, dia tetap bersyukur.

Katanya, dia juga masih mempunyai kudrat untuk menjaga mereka berdua, walaupun menghidap penyakit kencing manis dan masalah kolestrol,

“Selepas kedua-dua ibu bapa mereka meninggal, dua beradik ini seolah-olah mengerti mereka kehilangan segala-galanya ketika usia masih setahun jagung.

“Saya akan menjaga kedua-dua cucu ini bagai menatang minyak yang penuh seperti diamanahkan arwah anak serta menantu walaupun kehidupan kami kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya sambil mengelap air mata hiba.

sumber photo: Amran Rahman
Sumber: Harian Metro

Perhatian! Pihak MAIBACA tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Page Media Portal Ya.

Jom sama2 join group ni.. Khas untuk sama2 kita share menu masing2..inshaAllah bermanfaat disana..TQ
Nak Join –> Klik Disini